ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sembilan kereta. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sembilan kereta. FOTO Ihsan Bomba.
Hamzah Osman


SEMBILAN kenderaan musnah apabila sebuah bengkel membaiki kereta di Taman Aman, Langkawi, terbakar hari ini.

Kebakaran pada 11.30 pagi itu membabitkan enam kereta, dua van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di luar bengkel.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.41 pagi.

“Sepasukan 12 anggota termasuk dua pegawai berserta dua jentera dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan.

“Setiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan sembilan kenderaan yang diletakkan di luar bengkel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, dua kereta dan satu van musnah 95 peratus; tiga kereta dan satu van 80 peratus, manakala masing-masing sebuah kereta dan pacuan empat roda 10 peratus.

“Punca dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 4:15 PM