PENGERUSI AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENGERUSI AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh


PARTI Amanah Negara (AMANAH) Johor menafikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, kenyataan dibuat Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad petang tadi adalah tidak benar.

“AMANAH Johor ingin menegaskan semua sembilan ADUN daripada AMANAH masih setia bersama Pakatan Harapan (PH).

“Sehubungan ini, kenyataan Hasni adalah satu provokasi untuk memecah belahkan PH,” katanya pada kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Petang tadi, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dilaporkan berkata, BN Johor mendakwa sudah mendapat sokongan daripada 33 ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Hasni berkata, jumlah itu membabitkan 17 ADUN UMNO, MIC dan PAS, 11 ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tiga ADUN PKR dan dua ADUN AMANAH.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, satu sidang media penjelasan lanjut mengenai isu itu akan diadakan 9 pagi esok.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 10:16 PM