Satu daripada tiga bot yang dirampas. FOTO Ihsan CPS
Satu daripada tiga bot yang dirampas. FOTO Ihsan CPS
Noor Hidayah Tanzizi


JABATAN Perikanan Perak menahan tiga bot pukat tunda tempatan kelas C bersama 10 kru warga Thailand dan Myanmar di lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Jarak, Lumut, semalam.

Dalam operasi itu, Jabatan Perikanan Perak turut merampas 200 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan dengan keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, tiga bot berkenaan ditahan kerana menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Menurutnya, mereka juga dikesan menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter (mm) dan menangkap ikan menggunakan pukat tunda kurang daripada 15 batu nautika.

“Bot pertama ditahan di kedudukan 9.6 batu nautika dari Pulau Jarak pada 8.38 pagi dan menggunakan tiga nelayan warga Thailand manakala bot kedua bersama empat warga Myanmar ditahan 20 minit kemudian pada kedudukan 9.8 batu nautika dari situ (Pulau Jarak).

“Sebuah lagi bot bersama tiga kru warga Thailand ditahan pada 9.13 pagi di kedudukan 10.6 batu nautika dari perairan sama dan bot ini turut dikesan menggunakan kod zon tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mansor berkata, ketiga-tiga bot berkenaan berpangkalan di Hutan Melintang dan bot bersama warga asing berusia antara 21 hingga 42 tahun itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:14 AM