GAMBAR anjing yang di ambil dari monitor CCTV menunjukan beberapa ekor anjing yang berkeliaran di dalam kawasan beranda masjid di Masjid Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
GAMBAR anjing yang di ambil dari monitor CCTV menunjukan beberapa ekor anjing yang berkeliaran di dalam kawasan beranda masjid di Masjid Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


BEBERAPA ekor anjing dilihat berkeliaran dalam kawasan beranda Masjid Bandar Springhill, Port Dickson, hampir setiap malam.

Pengerusi masjid itu, Fazli Azhar Mohd Yunus, berkata beliau terkejut selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kehadiran tetamu tidak diundang itu.

“Sebelum ini, bilal, Zaiful Zainun, 52, yang melihat rakaman CCTV menunjukkan beberapa anjing berkeliaran di kawasan beranda masjid sebelum dia memaklumkan kepada saya.

“Saya tidak pasti jumlah sebenar anjing kerap berada di kawasan masjid. Perkara itu sudah dimaklumkan kepada pengawal keselamatan masjid untuk menghalau anjing liar yang memasuki kawasan masjid,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan di Masjid Bandar Springhill mendapati siak, bilal dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid sedang membersihkan kawasan sekitar beranda masjid.

Beliau berkata, tindakan menyamak dan membersihkan kawasan itu perlu dilakukan segera kerana kehadiran anjing boleh menyebabkan jemaah masjid bimbang kesucian masjid tercemar.

BEBERAPA Ahli Jawatankuasa Masjid Bandar Springhill sedang membersihkan seluruh kawasan sekitar beranda masjid di Masjid Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
BEBERAPA Ahli Jawatankuasa Masjid Bandar Springhill sedang membersihkan seluruh kawasan sekitar beranda masjid di Masjid Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

“Kami berharap masalah kehadiran anjing liar dapat diatasi segera. Memang pihak masjid ada pengawal keselamatan, tetapi anjing liar ini datang selepas tengah malam.

“Kami berharap pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menangkap anjing liar ini dengan segera,” katanya.

Zaiful pula berkata, dia curiga kerana terjumpa sisa makanan dalam kawasan masjid dan segera melihat monitor CCTV di dalam pejabat masjid.

Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah anjing liar ini.

“Masalah anjing liar ini bukan baru tetapi sudah sekian lama berlaku, bukan sahaja di Bandar Springhill tetapi seluruh Port Dickson.

“MPPD baru sahaja melantik kontraktor iaitu unit tangkap anjing untuk tahun ini dan tindakan akan dilaksanakan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 3:17 PM