Kekecohan yang berlaku di Balai Polis Port Dickson semalam tular di media sosial. Foto Ihsan Pembaca
Kekecohan yang berlaku di Balai Polis Port Dickson semalam tular di media sosial. Foto Ihsan Pembaca
Mohd Khidir Zakaria


SEMBILAN lelaki ditahan selepas membuat kecoh serta bergaduh dalam Balai Polis Port Dickson semalam hingga insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan atas kesalahan merusuh, membuat ugutan jenayah terhadap anggota polis dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kejadian berlaku apabila satu kumpulan lelaki mabuk memecahkan cermin kereta milik seorang lelaki lain dengan menggunakan parang di Taman PD Utama, Port Dickson.

“Pergaduhan di Taman PD Utama itu berlarutan hingga ke pekarangan Balai Polis Port Dickson.

“Namun, pihak polis berjaya menahan semua suspek lelaki berusia dari 24 hingga 33 tahun yang berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, semakan polis mendapati, lima suspek berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik, manakala empat lagi tiada rekod jenayah lampau.

“Dua orang daripada suspek didapati gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika diperiksa polis.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506/186/148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan mereka kini direman tiga hari di lokap Balai Polis Port Dickson,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 5:10 PM