Keadaan kemalangan yang meragut nyawa kelindan lori terbabit. FOTO MELVIN JONI
Keadaan kemalangan yang meragut nyawa kelindan lori terbabit. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


SEORANG kelindan lori maut manakala seorang lagi patah kaki kanan dalam kemalangan membabitkan lori dengan bas sekolah di tepi jalan berhampiran Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman, Simunjan, Sarawak awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, kejadian sekitar 5.53 pagi itu berlaku ketika lori yang membawa muatan baja kimia seberat lebih kurang 24 tan dalam perjalanan ke Pantu, Sri Aman.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan cuba memotong sebuah bas sekolah yang berhenti di tepi jalan berhampiran Kampung Jirok, Simunjan untuk mengambil lapan orang pelajar SMK Balai Ringin.

“Pemandu lori itu sudah memberi lampu isyarat memotong tetapi ada sebuah sebuah kenderaan pacuan empat roda cuba memotong dari belakang dengan laju dan memberi lampu tinggi.

“Pemandu lori yang terkejut dengan tindakan pacuan empat roda itu cuba mengelak dengan pergi ke bahagian kiri jalan sebelum melanggar belakang bas sekolah yang berhenti di situ,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Alexson berkata, akibat perlanggaran itu, kelindan yang duduk di bahagian pintu penumpang sebelah kiri dan seorang lagi kelindan yang duduk di bahagian tengah tersepit antara hadapan lori dan belakang bas sekolah.

“Pemandu lori terbabit yang berusia 21 tahun dapat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Manakala kelindan yang juga berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serian sekitar jam 11.22 pagi akibat kecederaan parah,” katanya.

Manakala seorang lagi kelindan yang patah kaki berusia 41 tahun dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sementara itu, lapan pelajar terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan berusia 13 hingga 17 tahun yang berada dalam bas sekolah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson berkata ketika kejadian, keadaan sekeliling adalah gelap kerana tiada lampu jalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 8:45 PM