Keadaan Hilux dan motosikal yang dinaiki mangsa di tempat kejadian. FOTO HSAN POLIS
Keadaan Hilux dan motosikal yang dinaiki mangsa di tempat kejadian. FOTO HSAN POLIS
Melvin Joni


DUA remaja lelaki naik motosikal lawan arus maut bertembung trak pikap di Jalan Serian Bypass, Serian malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, Toyota Hilux dipandu seorang pengurus ladang berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Taman Pasir di sini ke Balai Ringin.

"Ketika memandu di lorong kiri, tiba-tiba dua motosikal datang melawan arus di kedua-dua lorong.

"Pemandu cuba mengelak ke sebelah kanan dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa yang berusia 18 tahun dikenali sebagai Nick Noah Niklas dari Kampung Pasir dan Neavin Danny dari Kampung Kakai di sini mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Serian," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:23 AM