FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hamzah Osman


RAMAI pelancong China membatalkan rancangan mereka untuk bercuti di Langkawi berikutan penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis Razmi Rahmat berkata, perkembangan itu mula dirasai pihaknya sejak semalam.

“Sejak semalam, kakitangan hotel di Langkawi menerima banyak panggilan dari pelanggan untuk membatalkan tempahan bilik, khususnya membabitkan pelancong China.

“Semua pembatalan itu bagi tempoh bermula semalam sehingga akhir Februari ini,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Beliau berkata, dalam situasi penularan wabak itu, pihaknya mengalu-alukan langkah pelancong terbabit namun perkembangan berkenaan memberi kesan buruk kepada industri perhotelan.

“Bukan sahaja pelancong berkumpulan, individu yang tempah secara dalam talian pun turut berbuat demikian bermula semalam.

“Sebagai orang berniaga kami tidak menutup pintu untuk sesiapa saja membuat tempahan dan pada masa sama terpaksa akur apabila mereka membatalkannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Razmi berkata, pihaknya mewajibkan 239 kakitangan hotel di Kuah dan Pantai Chenang memakai topeng muka bagi mengelakkan daripada dijangkiti wabak itu.

“Kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana pelanggan kami terdiri pelbagai bangsa dan negara yang status kesihatan mereka tidak diketahui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir mengakui, sektor pelancongan di Langkawi kini berhadapan masa suram.

“Kedatangan pelancong kurang kerana semua penerbangan terus dari China ke Langkawi dibatalkan sekurang-kurangnya sehingga akhir Februari ini.

“Berikutan itu, sektor pelancongan pulau ini menurun sebanyak 40 peratus dan usaha perlu dilakukan bagi menarik pelancong tempatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 12:58 PM