BAWANG merah yang gagal diseludup ke Indonesia. FOTO ihsan PGA
BAWANG merah yang gagal diseludup ke Indonesia. FOTO ihsan PGA
Melvin Joni


CUBAAN seorang lelaki tempatan menyeludup keluar 320 guni bawang merah ke Indonesia gagal apabila dia ditahan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Stass, Bau semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintendan Rosdi Inai berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan ketika melalui jalan gajah di Kampung Stass, dalam operasi Ops Benteng Covid-19 yang dijalankan di kawasan persempadanan negeri.

Beliau berkata, operasi dijalankan enam anggota Batalion 11 PGA bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau pada jam 8.45 malam atas risikan dan maklumat yang diperolehi.

"Sebuah lori yang melalui jalan gajah ditahan dan pemeriksaan menemui sebanyak 320 guni bawang merah yang disyaki diseludup ke Indonesia.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah mengenai barang kawalan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, tangkapan dibuat terhadap pemandu lori manakala bawang merah berkenaan dirampas yang dianggarkan bernilai RM112,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih sebulan.

Justeru, Rosdi menyeru masyarakat setempat supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi menangani apa jua jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:08 PM