GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dua pegawai tadbir jabatan kerajaan ditahan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM160,000.

Menurut sumber, dua wanita berusia 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah ketika hadir memberi keterangan, 12 tengah hari semalam.

"Suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelbagai pembekalan perkhidmatan berjumlah kira-kira RM160,000 oleh sebuah jabatan kerajaan.

"Suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu pada tahun 2018 hingga 2020 dengan mengemukakan 11 invois atas nama dua syarikat berbeza," katanya, hari ini.

Menurutnya, terdapat pelbagai pembekalan dan perkhidmatan yang tidak dilaksanakan melibatkan lapan program yang dituntut oleh suspek.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM10,000 sementara kertas siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 5:40 PM