Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peruntukan RM100 juta kepada enam agensi penguatkuasaan negara bagi memperkukuh kelengkapan agensi berkenaan disifatkan sebagai satu suntikan semangat bagi meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan tugas.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata ini kerana peruntukan itu sememangnya diperlukan agensi penguat kuasa yang berhadapan dengan kekurangan antaranya melibatkan aspek logistik.

"Ini terutamanya melibatkan kenderaan pengiring banduan, persenjataan, peralatan kawalan keselamatan begitu juga dengan alat bantuan pelaksanaan program pemulihan.

"Menerusi peruntukan ini, ia akan dapat membantu kakitangan meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan tugas mereka," katanya kepada Bernama.

Selain itu, inisiatif yang turut melibatkan elaun pakai seragam yang ditambah baik itu bakal mengurangkan perbelanjaan kakitangan berkaitan pakaian seragam.

"Ini memastikan pakaian seragam yang lebih kemas dan ia secara tidak langsung akan dapat meningkatkan semangat mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan peruntukan tersebut kepada agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata peruntukan tersebut dapat memperkasakan pasukan Polis Diraja Malaysia dan menjaga kebajikan anggota.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki pula berpendapat peruntukan yang disediakan itu dapat digunakan bagi memperbaiki atau mengganti peralatan membabitkan perkhidmatan agensi itu.

"Ini suatu inisiatif baik, ia menunjukkan keperihatinan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan pasukan penguat kuasa supaya dapat memberi khidmat yang baik, pantas dan cekap kepada rakyat," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi memperkukuh kelengkapan enam agensi penguatkuasaan selain penambahbaikan Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada Pegawai dan Anggota Skim Penguat Kuasa.

Anwar berkata Elaun Pakaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) ditambah baik kepada kaedah bekalan Kemudahan Pakaian Seragam di enam agensi dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican menyegerakan penyaluran peruntukan RM100 juta kepada agensi penguatkuasaan selewat-lewatnya akhir minggu depan.

Enam agensi terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 8:55 AM