ANGGOTA GaNMBAR mengutip puntung rokok dalam program 'Fun Walk' Melaka Bebas Asap Rokok 2020 di Peringgit, Melaka. FOTO HASSAN OMAR
ANGGOTA GaNMBAR mengutip puntung rokok dalam program 'Fun Walk' Melaka Bebas Asap Rokok 2020 di Peringgit, Melaka. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


BUKAN aktiviti jalan jalan cari makan, sebaliknya mereka bersenam untuk menyihatkan tubuh sambil mengutip puntung rokok sekitar Bandaraya Melaka tadi.

Itu pengorbanan 104 anggota Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka Bebas Asap Rokok (GaNMBAR) dalam usaha membantu kempen larangan merokok di tempat awam.

Komitmen tinggi ditunjukkan mereka apabila berjaya mengutip lebih 1,000 puntung rokok seberat 1.8 kilogram (kg) selain mendidik anggota komuniti, terutama perokok di bandar raya ini supaya prihatin terhadap aspek pemeliharaan kebersihan dengan tidak membuang puntung rokok di merata-rata tempat.

Mereka sanggup mengetepikan panas terik matahari ketika berjalan sejauh 7.2 kilometer (km) di laluan pejalan kaki di tebing Sungai Melaka, di Peringgit, di sini, pada program 'Fun Walk' Melaka Bebas Asap Rokok 2020.

Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Jaksa Pendamai, Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Peringgit dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peringgit dimulakan di Balai Raya Peringgit di sini.

Sambil berjalan mereka mengutip puntung rokok yang dibuang di tepi jalan, celah pokok dan tebing sungai yang menjejaskan persekitaran berkenaan seolah-olah menjadi tempat pembuangan sampah dan puntung rokok.

Pengerusi Pelaksana Program GaNMBAR, Amir Hamzah berkata, ahli NGO terbabit sanggup berpanas semata-mata mengajak anggota komuniti berhenti merokok serta membuang puntung rokok di merata-rata tempat.

MENGUTIP Puntung rokok di tepi jalan. FOTO Hassan Omar
MENGUTIP Puntung rokok di tepi jalan. FOTO Hassan Omar

"Kami bersyukur mampu merealisasikan program ini semata-mata untuk mengajak anggota masyarakat tidak merokok di tempat awam, apatah lagi membuang puntung rokok di merata-rata tempat.

"Anggota GaNMBAR, termasuk kanak-kanak berkorban untuk mengutip puntung rokok walaupun di tempat yang kotor," katanya ketika ditemui di lokasi program itu.

Anggota GaNMBAR, Zanariah Abdul Karim, 48, berkata, dia tidak kisah berjalan sejauh 7.2 km, asalkan dapat membantu meningkatkan kefahaman anggota komuniti berhubung bahaya merokok, apatah lagi di tempat awam.

Mulai 1 Januari lalu penguatkuasaan larangan merokok di premis makan mengikut Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok dikeluarkan.

Mereka yang melakukan kesalahan itu didenda RM250 dan kegagalan mematuhi peraturan itu akan menyebabkan mereka didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 2:05 PM