Shaheizy Sam.
Shaheizy Sam.

Kuala Lumpur: "Jangan buang sampah merata-rata. Tuhan marah,".

Demikian pesanan pelakon, Shaheizy Sam dalam video pendek yang dimuat naik ke Instagramnya dengan cara yang mencuit hati.

Dalam hantarannya itu, Sam juga berkongsi mengenai tabiat buruknya.

"Dulu, saya ada tabiat buruk. Bila habis merokok, saya nak buang puntung rokok, saya akan tengok sekeliling.

"Bila saya nampak ada saja puntung rokok di lantai, saya akan mula jentik puntung rokok. Jadi, itu tabiat buruk saya," katanya.

Namun begitu, hatinya terjentik apabila menerima teguran dan nasihat daripada seorang sahabatnya.

"Satu hari, kawan saya tegur, kenapa kena buang sampah begitu? Jadi, saya kata, tak tahu nak buang di mana dan ada nampak banyak (puntung rokok) di situ.

"Dia jelaskan kepada saya, kerana 'sumbangan' kita walaupun sekecil-kecil puntung rokok itu, tapi bila dah ramai orang buat (buang sampah), ada orang lain buat, benda itu akan jadi banyak," katanya.

Sejak dari itu, Sam mula mengingatkan dirinya agar tidak membuang sampah merata-rata dan sentiasa beringat bahawa Allah tidak sukakan hamba-Nya yang bersikap pengotor.

"Dalam agama pun, memang diajar, kalau boleh kita mesti mahu menjaga kebersihan. Jadi, setiap kali saya nak buang puntung rokok, saya akan ingat Allah marah kalau saya buat kotor.

"Sejak dari itu, saya akan berjaga-jaga supaya saya tidak membuat kotor. Jadi, sebelum buang, kita fikir dulu, Tuhan mesti marah," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 3:25 PM