Harmy (kanan) menunjukkan puntung rokok yang dikutip sempena Kempen Masyarakat Sejahtera Tanpa Asap Rokok di Pantai Batu Buruk. FOTO Ghazali Kori
Harmy (kanan) menunjukkan puntung rokok yang dikutip sempena Kempen Masyarakat Sejahtera Tanpa Asap Rokok di Pantai Batu Buruk. FOTO Ghazali Kori
Aslina Abu Bakar

MESKIPUN Pantai Batu Buruk diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak Julai tahun lalu, namun masih ramai perokok tegar yang ingkar dan tidak mengendahkan larangan berkenaan.

Lebih mengecewakan apabila lebih 5,000 puntung rokok berjaya dikumpulkan sukarelawan sempena Kempen Masyarakat Sejahtera Tanpa Asap Rokok yang dijalankan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISM), dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Timbalan Dekan Akademik dan Siswazah UniSZA Prof Dr Harmy Mohamed Yusoff berkata, bagi memastikan orang awam termasuk peniaga dan pengunjung di kawasan itu maklum mengenai status lokasi berkenaan, pihaknya kini giat melatih sukarelawan untuk memberi kesedaran dan mengedar risalah kepada pengunjung.

"Pantai Batu Buruk diwartakan sebagai kawasan bebas asap rokok mulai 1 Julai 2017 oleh kerajaan negeri, bagaimanapun kita lihat masih banyak puntung rokok dibuang merata-rata di kawasan ini sedangkan mereka tahu kawasan ini adalah kawasan larangan merokok.

"Oleh itu, sebelum aktiviti penguatkuasaan atau tindakan dibuat , kami berharap lebih banyak agensi tampil untuk memperhebat aktiviti promosi mengenai status kawasan ini," katanya ketika ditemui di program berkenaan, di Kuala Terengganu, hari ini.

Harmy yang juga Timbalan Pengerusi PAPISM berkata, kerajaan perlu memperbanyakkan papan tanda memaklumkan status kawasan itu.

"Seperti mana yang kita lihat, terdapat beberapa papan tanda menyatakan kawasan ini adalah kawasan larangan merokok tetapi saiznya kecil selain kedudukannya yang tidak strategik.

"Jadi, kami membahagikan lebih 30 sukarelawan termasuk kakitangan UniSZA, PAPISM dan JKNT kepada 10 zon untuk melihat lokasi yang menjadi tumpuan perokok untuk melepaskan gian mereka," katanya.

Harmy berkata, tujuan aktiviti itu diadakan bukan sahaja untuk melindungi masyarakat awam terdedah dengan asap rokok tetapi bertujuan memberi kesedaran secara maksimum melalui pengedaran risalah dan nasihat bahawa kawasan ini tidak boleh merokok.

"Untuk makluman, sesiapa yang merokok di kawasan ini juga akan didenda RM10,000 atau penjara dua tahun. Bagaimanapun di peringkat ini kita akan memberi pendidikan dahulu sebelum Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan meneruskan tindakan lebih tegas seperti saman dan denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 7:57 PM