SEBAHAGIAN daripada anggota Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) mengutip puntung rokok di Jalan Hang Tuah, Melaka. FOTO Hassan Omar
SEBAHAGIAN daripada anggota Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) mengutip puntung rokok di Jalan Hang Tuah, Melaka. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


BIARPUN dianggap kerja jijik, namun seramai 30 anggota Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) giat meneruskan usaha mengutip puntung rokok di kaki lima, di dalam dan luar longkang dan di tepi jalan semata-mata bagi menjayakan kempen larangan merokok di tempat awam.

Mereka yang menjadikan restoran dan warung makan di Jalan Hang Tuah, di sini, sebagai sasaran kegiatan, sudah berjaya mengutip lebih 1,000 puntung rokok dengan berat keseluruhan kira-kira 1.2 kilogram (kg).

Walaupun terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan, namun anggota MBAR tetap tabah melaksanakan tugas mengutip puntung rokok.

Wakil peserta MBAR, Jaafar Atan, 58 berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada langkah meningkatkan kesedaran masyarakat, terutama perokok berhubung bahaya merokok dan kesannya terhadap orang lain.

"Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran perokok supaya tidak membuang puntung rokok di merata-rata tempat. Sebaliknya mereka harus membantu memelihara kebersihan persekitaran dengan membuang rokok di tong sampah," katanya ketika ditemui di lokasi program itu, hari ini.

Jaafar berkata, program itu adalah lanjutan larangan merokok di semua kedai makan oleh Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, sekali gus menggalakkan lebih ramai perokok supaya berhenti merokok.

Anggota MBAR, Khatijah Borhan, 52, berkata, dia tidak mempedulikan kotoran di dalam longkang ketika mengutip puntung rokok kerana memikirkan pentingnya kempen itu.

Katanya, mungkin ada sesetengah pihak menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'membuang masa' kerana puntung rokok tidak jelas kelihatan berbanding sampah sarap yang lain tetapi dia tetap menganggapnya sebagai antara bahan kotoran yang 'menyakitkan mata.'

Sehubungan itu, dia meminta perokok supaya menghormati larangan berkenaan dan bersama-sama membantu usaha memelihara kebersihan di bandar ini melalui tindakan tidak merokok di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 4:45 PM