Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pungut 3,000 puntung rokok yang dibuang dalam masa sejam! Jumlah yang mengejutkan itu diperoleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerusi tinjauan yang dijalankan di sini.

Sebanyak 1,000 puntung rokok dikutip adalah yang dibuang perokok itu di kawasan parkir di sebuah hospital kerajaan di sini.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, puntung rokok adalah sampah yang paling biasa serta sering tidak disedari, malah ia dibuang merata-rata di jalan raya, taman, pantai dan pasu bunga.

Menurutnya, perokok di Malaysia sering terlepas daripada tindakan kerana membuang sampah dan ia membantu bagi menguatkan lagi tabiat mereka.

"Menerusi tinjauan CAP mendapati persimpangan lampu isyarat menjadi 'lokasi kegemaran' perokok bagi membuang puntung rokok dan hampir kesemuanya dengan penapis.

"Alasan mereka membuangnya di persimpangan lampu isyarat berikutan perokok cepat menghabiskan sedutan mereka sementara menunggu lampu bertukar hijau selain mudah membuang puntung rokok di situ," katanya ketika sidang media di Pejabat CAP di sini, hari ini yang turut dihadiri sama ialah Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

MOHIDEEN (kiri) dan Pegawai Subbarow (kanan) menunjukkan puntung rokok yang dibuang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHIDEEN (kiri) dan Pegawai Subbarow (kanan) menunjukkan puntung rokok yang dibuang. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Mengulas lanjut Subbarow berkata, penapis rokok yang diperkenalkan pada 1950-an bertujuan bagi memberi rasa selamat yang palsu kepada perokok bahawa ia lebih selamat.

"Sebenarnya mereka tidak menjadikan tabiat merokok lebih selamat kerana bahan kimia berbahaya masih dihantar ke paru-paru.

"Penapis rokok terdiri daripada gentian selulosa asetat plastik yang mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun bagi degradasi sepenuhnya.

"Dalam pada itu, bahan kimia toksik yang sebahagiannya terperangkap oleh serat asetat selulosa melarut resap ke dalam persekitaran dan antara bahan kimia itu ialah nikotin.

"Jumlah nikotin yang terdapat dalam enam puntung rokok sudah cukup bagi menyebabkan seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital dan ia tidak termasuk bahan kimia lain seperti arsenik, formaldehid, hidrokarbon aromatik polisiklik dan logam berat," katanya.

Menurut Subbarow, puntung rokok yang sering dibuang akan memasuki sistem saliran ke tasik atau laut dan kajian menunjukkan bahawa puntung rokok dalam sembilan liter air sudah cukup bagi membunuh kutu air serta krustasea kecil yang terdapat dalam air tawar dan air masin.

"Hidupan liar juga boleh diracun selepas tersilap memakan puntung rokok sebagai makanan.

"Walaupun perokok membuang puntung rokok ke dalam tong sampah yang betul bagi dilupuskan, ia juga akan berakhir di tapak pelupusan," katanya.

Sementara itu, Mohideen berkata, sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD), CAP menyeru orang ramai supaya menghentikan tabiat merokok yang memudaratkan dan membazir.

"CAP menggesa pihak berkuasa berkaitan bagi mendenda mereka yang membuang puntung rokok atau menghisap rokok di zon yang tidak dibenarkan selain bekerjasama dengan majlis tempatan yang mengendalikan kamera litar tertutup (CCTV).

"Perokok boleh berhenti daripada ketagihan nikotin dengan mendaftar diri di JomQuit (https://jomquit.com/) iaitu program berhenti merokok oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 1:51 PM