CHALET yang dibina menggunakan paip pembentung. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz
CHALET yang dibina menggunakan paip pembentung. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz
Muhamaad Razis Ismail


USIANYA baru mencecah 26 tahun namun wanita ini berani mencabar diri menceburi bidang perniagaan sebagai pilihan kerjayanya.

Lebih unik, Wan NurulAsifa Wan Ab Aziz terbabit dalam bidang pengurusan hotel dan pelancongan.

Anak sulung daripada enam beradik ini berkongsi alasan dia berbuat demikian kerana enggan bekerja makan gaji.

Katanya, dia lebih selesa berdikari dengan memulakan perniagaan sendiri, sekali gus membantu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

WAN NurulAsifa (duduk barisan kedua, kiri) bersama ahli keluarganya. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz
WAN NurulAsifa (duduk barisan kedua, kiri) bersama ahli keluarganya. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz

“Kita perlu akui di zaman sekarang ini sukar untuk mendapatkan pekerjaan sesuai biarpun memiliki segulung ijazah. Jadi saya menyahut cabaran dengan membuka chalet di sini.

“Saya mahu buktikan usia muda bukan penghalang untuk berjaya asalkan kita ada minat dan semangat yang kuat untuk terus berjaya serta berubah.

“Alhamdulillah saya bersyukur ibu bapa dan adik-beradik memberi sokongan selain sama-sama membantu meneruskan perniagaan ini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Wan NurulAsifa juga mengakui, dia berdepan pelbagai cabaran apatah lagi menceburinya dalam usia muda.

“Bukan mudah bagi lepasan ijazah seperti saya ini untuk terus memulakan perniagaan yang modal bukan kecil selain berdepan risiko kerugian besar sekiranya tersilap langkah.

WAN NurulAsifa melayan pelanggan di chalet yang diusahakan sejak tahun lalu di Kampung Jelawang, Kuala Krai. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz
WAN NurulAsifa melayan pelanggan di chalet yang diusahakan sejak tahun lalu di Kampung Jelawang, Kuala Krai. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz

“Tipulah saya kata tiada cabaran kerana saya baru sahaja tamat pengajian selain kurang pengalaman bekerja dalam bidang perhotelan. Saya juga tidak melepaskan peluang menghadiri kursus pengurusan hotel.

“Pada masa sama saya berdepan pelbagai persepsi masyarakat dan saya atasi dengan terus bersabar,” katanya yang membuka chalet daripada paip pembentung dinamakan Jelawang Pipe Resort & Extreme Park di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jelawang, Kuala Krai, Kelantan sejak tahun lalu.

Dia turut menasihatkan orang muda supaya berani menceburi bidang yang diminati dan tidak mudah patah semangat dalam merealisasikan impian.

WAN NurulAsifa dihadapan chalet diusahakannya. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz
WAN NurulAsifa dihadapan chalet diusahakannya. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz

“Pedulikan apa orang kata, kerana hanya kita yang mampu mengubah nasib sendiri.

“Saya tidak kata sudah berjaya, namun saya sentiasa berusaha untuk lakukan yang terbaik untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Menurutnya, idea untuk membuka chalet di kawasan seluas 1.2 hektar itu tercetus selepas melihat potensi besar kawasan berkenaan sebagai kawasan pelancongan.

“Kawasan ini terletak berhampiran beberapa kilometer dari Taman Negeri Gunung Stong, menjadi tarikan kepada pencinta alam semula jadi.

WAN NurulAsifa (depan, enam dari kiri) bersama sebahagian pelanggan yang menjalankan pelbagai aktiviti di chaletnya. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz
WAN NurulAsifa (depan, enam dari kiri) bersama sebahagian pelanggan yang menjalankan pelbagai aktiviti di chaletnya. FOTO Ihsan Wan Nurulasifa Wan Ab Aziz

“Kebanyakan pelancong di dalam dan luar negara akan singgah di sini untuk menikmati keindahan alam yang belum tercemar,” katanya.

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan itu berkata, sejak memulakan perniagaan, chaletnya mendapat sambutan menggalakkan.

“Hampir setiap minggu 13 bilik di sini akan dipenuhi pelancong daripada dalam dan luar negara.

“Perkembangan ini menyuntik semangat saya untuk terus kuat dan bersemangat membangunkan bidang yang saya ceburi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:31 AM