ANGGOTA kastam menemukan rokok seludup dalam rumah kedai terbiar di Jalan Penrissen, Kuching
ANGGOTA kastam menemukan rokok seludup dalam rumah kedai terbiar di Jalan Penrissen, Kuching
Oleh Mohd Roji Kawi


KUCHING: Serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke atas rumah kedai terbiar di Jalan Penrissen, di sini, semalam merampas 980,400 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM88,200.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, rampasan itu membabitkan anggaran cukai sebanyak RM655,887.60.

Beliau berkata, serbuan dilakukan Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya, pasukan serbuan menemui hampir sejuta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki belum lulus kastam,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah berkata, kesemua rokok itu disita dan dibawa ke stor Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.

Katanya lagi, bangunan kedai terbiar itu digunakan sebagai tempat stor penyimpanan bahan terlarang itu dan dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan individu akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 2:37 PM