JKDM Sarawak menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan rokok. FOTO NORSYAZWANI NASRI
JKDM Sarawak menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan rokok. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Oleh Melvin Joni


SERBUAN terhadap sebuah rumah di lokasi terpencil di Lundu dekat sini, 2.45 petang semalam oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak membawa kepada penemuan rokok seludup bernilai RM168,731.

Pada masa sama, seorang lelaki yang dikatakan pemilik rumah itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Taha berkata, rampasan membabitkan 9,370 kartun rokok (187,400 batang) dan ia dibuat hasil risikan serta maklumat awam sejak seminggu lalu.

"Sindiket menjadikan rumah di lokasi terpencil itu sebagai stor penyimpanan rokok seludup bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Rokok terbabit untuk pasaran Bau, Lundu dan Sematan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Sharifah, rokok pelbagai jenama itu juga baru tiba untuk memenuhi permintaan sempena Hari Gawai yang bakal menjelang.

"Rokok terbabit disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Demak Laut untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar," katanya.

Maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi 1-800-88-8855 dan identiti setiap pemberi maklumat tidak akan didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:57 PM