KERETA mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KERETA mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI patah paha kanan dan kaki kiri selepas Perodua Myvi yang dipandu bersama seorang penumpang wanita terjunam ke dalam parit sawah di Jalan Titi Haji Idris, di Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 7.40 pagi tadi, kereta berkenaan dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 30-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.45 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Anuar Abdul Hamid tiba di lokasi, jam 7.58 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kereta Perodua Myvi berkenaan masih berada dalam parit dalam sawah berkenaan.

“Pemandu Myvi iaitu lelaki berusia 20-an patah paha kanan dan kaki kiri, manakala penumpangnya iaitu wanita berusia 20-an mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bomba mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Alor Setar memberi rawatan awal pada mangsa sebelum membawa mangsa lelaki itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Wanita yang memandu Perodua Alza itu dihantar ke hospital menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala penumpang wanita yang menaiki Perodua Myvi yang cedera itu dihantar ke hospital dengan ambulans KKM.

“Operasi tamat pada jam 8.54 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 9:50 AM