NUR Adreena Mohd Khairil Faizi, 2, (gambar kecil) meninggal dunia selepas kemalangan bersama ibu bapanya. FOTO Ihsan Bomba.
NUR Adreena Mohd Khairil Faizi, 2, (gambar kecil) meninggal dunia selepas kemalangan bersama ibu bapanya. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun yang parah selepas kereta dinaiki bersama ibu bapanya kemalangan dan terjunam dalam parit di Jalan Titi Haji Idris, Alor Setar, hari ini, disahkan meninggal dunia.

Nur Adreena Mohd Khairil Faizi, 2, yang dihantar orang awam ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejurus kemalangan, meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ibu bapanya, Norliyana Abdullah Helmi, 27, dan Mohd Khairil Faizi Abdul Kadir, 27, masih dirawat di hospital sama.

Dalam kejadian 7.40 pagi hari ini, tiga beranak itu yang menaiki Perodua Myvi kemalangan dengan Perodua Alza dipandu Siti Syarbani Azia Jantan, 32, sebelum kereta mereka terjunam ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi kemalangan, kanak-kanak itu sudah diselamatkan orang awam dan dihantar ke hospital.

“Susulan itu, anggota membantu mengeluarkan ibu bapa mangsa yang berada di dalam Perodua Myvi.

“Bapa mangsa patah kaki kanan dan ibunya cedera,” katanya.

Berita berkaitan

Kereta terjunam dalam parit

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 2:03 PM