KEADAAN kereta yang remuk. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN kereta yang remuk. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


DUA cedera selepas tersepit apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain termasuk treler di hadapan Balai Polis Kota Sarang Semut, Alor Setar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, kedua-dua mangsa seorang lelaki dan wanita berusia 40-an yang menaiki Perodua Viva berjaya dikeluarkan anggota bomba selepas tersepit lebih setengah jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 1.30 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazari Kasa tiba di lokasi pada 1.39 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi didapati keadaan Perodua Viva remuk dan terdapat dua mangsa tersepit dalam kenderaan itu.

"Perodua Viva itu dipercayai melanggar belakang lori treler dan disusuli Toyota Hilux kerana hilang kawalan ketika melalui sekatan jalan raya di lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya membantu mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas 'resque tools' sebelum kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada 2 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu treler dan Toyota Hilux terselamat dalam kejadian itu.

"Kedua-dua mangsa yang tersepit dan cedera itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh ambulans KKM dan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:58 AM