BOT Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditembak suspek dalam insiden berbalas tembakan di perairan Semporna. FOTO IHSAN PDRM
BOT Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditembak suspek dalam insiden berbalas tembakan di perairan Semporna. FOTO IHSAN PDRM
Norasikin Daineh


POLIS dalam usaha melengkapkan siasatan termasuk bekerjasama dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan maklumat lengkap berkaitan suspek yang terbabit dalam insiden bot Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditembak semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Ini kerana tembakan yang dilepaskan oleh suspek boleh menyebabkan kemalangan jiwa pasukan JKDM dan hasil hasil siasatan mendapati kira-kira 50 das tembakan dilepaskan namun tiada yang kena pada bot.

“Jadi polis kini dalam usaha untuk melengkapkan siasatan dan bekerjasama dengan pihak ESSCOM bagi mendapatkan maklumat suspek yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di Semporna, hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 9.56 malam bahawa berlaku kejadian tembak terhadap bot penguatkuasaan JKDM oleh individu tidak dikenali.

“Hasil siasatan mendapati pada jam 3.40 petang sepasukan penguat kuasa JKDM yang berpangkalan di Lahad Datu diketuai Ketua Kastam Daerah Lahad Datu bersama empat anggota bergerak ke perairan Semporna dengan menaiki bot Pemintas 103 untuk membuat risikan terhadap penyeludupan minyak di perairan terbabit.

“Ketika menghampiri Pulau Bohey Dulang, pasukan terbabit terlihat sebuah bot laju berukuran enam meter berwarna putih dan biru dengan dianggarkan terdapat tujuh orang didalamnya dan bot itu memecut laju dalam jarak satu kilometer dari bot pasukan penguat kuasa terbabit.

“Bot penguat kuasa itu cuba memintas bot suspek dan ketika ‘Bacon Light’ dipasang dan siren dibunyikan, bot suspek masih enggan berhenti sebaliknya apabila melihat bot pasukan penguat kuasa semakin menghampiri mereka dengan jarak kira-kira 200 meter, suspek kemudian tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah bot JKDM,” katanya.

Sabarudin berkata, susulan tembakan itu dan bagi mempertahankan diri, pihak JKDM membalas tembakan dan menyebabkan suspek memecut bot terus ke arah perairan antarabangsa Filipina.

“Tiada sebarang kecederaan terhadap pasukan penguat kuasa JKDM, bagaimanapun bot suspek berjaya memecut ke arah Pulau Malamanuk, Filipina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 7:22 PM