RASHID (dua kiri) menunjukkan pistol yang ditemui di dalam bot suspek, FOTO Syikin Daineh
RASHID (dua kiri) menunjukkan pistol yang ditemui di dalam bot suspek, FOTO Syikin Daineh
Oleh Norasikin Daineh


Semporna: Seorang lelaki berusia 40-an dipercayai penjenayah rentas sempadan maut dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan berhampiran Pulau Bangau-Bangau, dekat sini, awal pagi tadi‎

Dalam kejadian pada jam 2.15 pagi itu, lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu ditembak mati selepas cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah bot ke arah laut pelabuhan.

Komander ESSCOM Datuk Abdul Rashid Harun berkata, kejadian bermula apabila sepasukan polis melakukan pemantauan di kawasan berkenaan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan kita cuba menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan tetapi suspek bertindak melarikan diri sebelum berjaya dipintas.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis," katanya pada sidang media di Kompleks Pasukan Marin, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, anggota keselamatan membalas tembakan ke arah suspek dan sebaik bot itu berjaya dirapati, suspek didapati terbaring dengan berlumuran darah. Suspek dipercayai mati di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menjumpai sepucuk pistol bersama dua kelongsong peluru serta tiga peluru hidup.

Katanya, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dengan beberapa kes culik dan tebusan atau kaitan dengan jenayah rentas sempadan yang lain.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Katanya, mayat suspek dirujuk ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan selanjutnya.

Susulan kejadian itu, Rashid berkata, pasukan keselamatan menahan sembilan individu berusia dalam lingkungan 40-an termasuk dua wanita di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan.

Katanya,pihak berkuasa juga sedang mengesan enam lagi lelaki berusia 30 hingga 40-an dipercayai dapat membantu siasatan kes jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 3:42 PM