AHMAD Zahid ketika hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
AHMAD Zahid ketika hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Sarah Zulkifli


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima gaji dan elaun bulanan berjumlah RM44,383.15 ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Setiausaha Bahagian (Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55, berkata Ahmad Zahid yang memegang jawatan itu hingga 9 Mei 2018 itu setiap bulan menerima gaji hakiki berjumlah RM18,168.15 manakala elaun RM26,215.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Ali pada hari ke-12 perbicaraan kes Ahmad Zahid membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gaji hakiki diterima Ahmad Zahid sebagai Menteri Persekutuan (Menteri Dalam Negeri) bermula 16 Mei 2013 sehingga 27 Julai 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun diperoleh berjumlah RM24,320.

“Ahmad Zahid terima elaun berdasarkan ketentuan elaun dan keistimewaan untuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan (pindaan hingga November 2014),” katanya.

Dalam prosiding itu, beliau turut mengecam dokumen perakuan tentang kedudukan atau jawatan dipegang Ahmad Zahid dikemukakan kepadanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Datuk Wasi Khan @Wasiyu Zama Israr Ahmad, 50, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad bahawa pinjaman dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk pelaburan.

ROSAL: Kamu setuju jika pelaburan ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi?

WASI: Tidak setuju.

ROSAL: Setuju jika saya katakan Ahmad Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd.

WASI: Tidak setuju.

Mahkamah semalam mendengar keterangan Wasi berhubung Ahmad Zahid meminjamkan dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu selepas diperkenalkan oleh Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenal sebagai Datuk K.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 11 Februari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 8:17 PM