Datuk Roosme Hamzah. Foto Arkib NSTP
Datuk Roosme Hamzah. Foto Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor

“DETIK paling cemas saya hadapi adalah apabila sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) itu tidak dapat diluluskan. Itu detik paling cemas sebagai seorang yang bergelar Setiausaha Dewan Rakyat,” kata Datuk Roosme Hamzah, 60.

Roosme mengakui ia pengalaman paling mencemaskan sepanjang bergelar Setiausaha Dewan Rakyat sejak dilantik ke jawatan itu kira-kira 13 tahun lalu.

“Kalau RUU itu tidak dapat diluluskan, cemas jugaklah. Seperti yang kita tahu berlaku baru-baru ini (undian berbelah bahagi bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

“Walaupun ia bukan tanggungjawab setiausaha dewan (untuk mengundi) tetapi ia penting bagi memastikan kelancaran dan pelaksanan sesuatu RUU itu,” katanya ketika ditemui selepas tamat sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

Semalam juga cukup bersejarah bagi Roosme kerana ia merupakan terakhirnya sebagai Setiausaha Dewan Rakyat.

Beliau bakal bersara pada Februari tahun depan dan semalam menjadi sidang terakhirnya kerana Dewan Rakyat bakal bersidang semula pada Mac.

Lebih manis, sesi Dewan Rakyat yang bersidang semalam dimulakan dengan ucapan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada Roosme atas segala budi dan jasanya sebagai setiausaha dewan.

Beliau akui cukup teruja dan tidak menyangka diberi penghormatan sedemikian tambahan lagi ia dizahirkan dalam dewan yang mulia itu.

“Saya sangat teruja dengan apa yang berlaku awal pagi tadi (semalam). Saya tidak sangka sama sekali apabila saya sebut pemasyuran Tuan Yang Dipertua...rupa-rupanya ia khusus untuk memberi penghargaan kepada saya.

“Saya hanya seorang setiausaha dewan tapi dapat dizahirkan dan diberikan penghargaan dalam dewan yang mulia ini. Hari ini detik paling bermakna buat saya,” katanya yang juga menjadi wanita pertama diberi tanggungjawab itu.

Ditanya apa perancangannya selepas bersara kelak, Roosme berkata, beliau merancang untuk mengeluarkan buku yang bakal memuatkan segala pengalamannya sepanjang mengendalikan Dewan Rakyat.

“Tak banyak bentuk penulisan berkaitan Dewan Rakyat di pasaran ketika ini. Justeru, saya akan berkongsi pengalaman saya sepanjang mengendalikan dewan ini,” katanya.

Menurutnya, beliau juga berterima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kerana memberi kepercayaan penuh kepadanya khususnya dalam menguruskan peralihan Parlimen yang dahulu kepada Parlimen yang sekarang ini.

Roosme berkhidmat bagi tiga Yang di-Pertua Dewan Rakyat bermula dengan Tan Sri Ramli Ngah Talib, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum bersama Mohamad Ariff.

Beliau memasuki perkhidmatan awam pada 1989 sebelum memulakan perkhidmatan di Parlimen pada 2001 sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Dewan) dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian (Pengurusan Dewan) pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 12:12 AM