Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan enakmen berkaitan larangan pertukaran parti politik bagi Ahli Dewan Negeri (Adun) Perak dilaksanakan, dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 itu dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) bagi bacaan kali pertama dan kedua yang kemudiannya disokong oleh Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu).

Saarani berkata, RUU itu bertujuan meminda beberapa perkara di Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak bagi tujuan larangan Adun Perak bertukar parti supaya selaras peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Katanya, terdapat tujuh fasal RUU Enakmen terbabit yang dicadangkan yang meliputi tajuk ringkas serta peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan; memasukkan makna "parti politik" ke dalam Fasal (1) Perkara (4).

Selain itu, fasal ketiga untuk memotong Fasal (5) Perkara (31); fasal keempat yang bertujuan memasukkan Perkara baharu "32A" ke dalam Enakmen ibu merangkumi dua fasal peruntukan yang dicadangkan; fasal keenam berkenaan kekosongan luar jangka di Dewan Negeri; dan fasal mengenai pilihan raya yang disebabkan kekosongan luar jangka itu.

Mengenai fasal kekosongan luar jangka di Dewan Negeri, perkara itu hendaklah dipastikan oleh Yang Dipertua apabila menerima pemberitahuan bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Negeri itu mengenai berlakunya kekosongan terbabit dan Yang Dipertua hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh menerima pemberitahuan bertulis itu.

RUU itu dijangka dibahas dan ditentukan keputusannya esok.

Pada 28 Julai lalu, Parlimen Malaysia meluluskan RUU Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat seterusnya diluluskan oleh Dewan Negara pada 9 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 10:20 PM