Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Beberapa Ahli Parlimen DAP dan PKR sengaja bangun bertujuan melengah-lengahkan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sepatutnya membentangkan usul persendirian berkaitan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Antaranya Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Gooi Hsiao Loong (PKR-Alor Setar) dan Lee Boon Chye (PKR-Gopeng).

Mereka menggunakan alasan Peraturan Mesyuarat selain membangkitkan masalah teknikal berkaitan usul berkenaan.

Lebih setengah jam mereka bangun bersilih ganti mempertikaikan usul berkenaan yang diberi keutamaan untuk dibentangkan pada hari terakhir Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Usul itu tersenarai sebagai perkara 1 di bawah Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Parlimen hari ini.

Bagaimanapun selepas lebih setengah jam ‘mengacau’ akhirnya Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua Ahli Parlimen terbabit duduk dan meminta Abdul Hadi meneruskan pembentangan.

Ia bertujuan meminda perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebii lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagai mana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 12:51 PM
Abdul Hadi semasa membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat pagi tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Abdul Hadi semasa membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat pagi tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali