ANGGOTA APM membantu mangsa banjir di PPS SRJK Tamil Mahajothi. FOTO IHSAN APM
ANGGOTA APM membantu mangsa banjir di PPS SRJK Tamil Mahajothi. FOTO IHSAN APM
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 73 mangsa dari Taman Songket, Sungai Petani, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir kilat melanda kawasan itu, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, PPS di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Mahajothi dibuka selepas 16 rumah penduduk dimasuki air sedalam 1.5 meter.

“Hujan berterusan pada petang semalam menyebabkan berlaku limpahan air dari kolam Institut Tadbiran Awam Negara Wilayah Utara (INTURA) Sungai Petani.

“Air deras menyebabkan tembok pagar INTURA roboh lalu melimpah masuk ke rumah penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azahar berkata, sistem perparitan tidak sempurna untuk menampung limpahan air hujan di samping perparitan yang sudah lama tidak diselenggara menyebabkan kawasan itu mudah berlaku banjir.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa.

“Komuniti setempat juga perlu membuat gotong royong membersihkan parit dan saliran supaya sampah sarap tidak tersumbat yang boleh membawa kepada berlakunya banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 12:23 PM