Anggota APM Kuala Muda melakukan operasi memindahkan mangsa yang terperangkap akibat banjir kilat untuk dibawa ke PPS. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Kuala Muda melakukan operasi memindahkan mangsa yang terperangkap akibat banjir kilat untuk dibawa ke PPS. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Muda iaitu di Dewan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, dibuka jam 3 pagi hari ini.

Jumlah terkini mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Kuala Muda adalah seramai 110 mangsa daripada 35 keluarga.

PPS itu menempatkan seramai enam mangsa daripada satu keluarga manakala dua lagi PPS yang dibuka sejak semalam adalah di Dewan UMNO

Kampung Bukit Belah adalah seramai 20 mangsa daripada enam keluarga manakala PPS di Dewan SJK (C) Min Terk menempatkan seramai 84 mangsa daripada 28 keluarga.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, jumlah itu membabitkan penduduk di empat mukim yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda daerah itu sejak semalam.

Beliau berkata, antaranya adalah Kampung Batu 5, Mukim Gurun, Taman Bersatu, Taman Widuri, Taman Teratai, Taman Kenari Biru, Taman Songket, Taman Berlian, Kampung Baru Belah, Kampung Batu 2, Kampung Haji Wahab, Taman Ambangan Heights, Taman Sari, Kampung Belakang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Min Terk dan Kampung Watt Siam di Mukim Sungai Petani.

"Selain itu, Kampung Baru Bakar Arang di Mukim Sungai Pasir manakala Kampung Jerung di Mukim Sidam Kiri turut dinaiki air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azahar berkata, banjir kilat berlaku akibat hujan lebat bermula jam 5.30 petang semalam di beberapa kawasan di daerah ini berikutan limpahan air secara mengejut dan berlebihan.

"Turut berlaku kejadian air pasang besar yang mana pintu air ditutup sehingga jam 1.16 pagi tadi untuk mengelakkan kejadian lebih buruk.

"Kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda mangsa dan paras kedalaman air setinggi antara 0.5 meter hingga satu meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:48 AM