Keadaan rumah warga emas yang terbakar hari ini. FOTO Effendy Rashid
Keadaan rumah warga emas yang terbakar hari ini. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


“SAYA dikejutkan dengan letupan sehingga menggegarkan rumah sebelum bergegas turun untuk melihat apa sebenarnya berlaku dan terkejut apabila mendapati api marak di unit rumah tingkat bawah.

“Disebabkan bimbang api merebak ke unit lain, saya berlari meminta pertolongan penduduk lain sebelum kami hubungi bomba,” kata penduduk sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Ipoh.

Penduduk itu tinggal di blok sama dengan pasangan warga emas yang ditemui rentung selepas rumah mereka di tingkat bawah terbakar.

Difahamkan, turut ditemui dua tong gas berdekatan mayat pasangan itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesan lelaki yang maut itu ada membawa dua tong berisi bahan bakar masuk ke dalam rumah.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, suami isteri, Kamal Mustafa dan Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan hadapan bilik air rumah mereka.

Menurut penduduk, pasangan itu dipercayai tinggal berdua di rumah itu manakala anak-anaknya sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

“Wanita warga emas yang meninggal dunia ini memang dikenali dengan sikap peramah dan baik kerana banyak sertai aktiviti diadakan persatuan penduduk, kami tidak tahu apa masalah sehingga berlakunya kejadian ini” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Menurut penduduk, warga emas lelaki yang maut itu juga dipercayai pernah cuba terjun dari tingkat atas apartmen itu beberapa bulan lalu namun gagal kerana ia disedari penduduk.

“Mangsa sebelum ini dipercayai cuba terjun dari apartmen beberapa bulan lalu namun tindakannya itu dilihat penduduk sebelum menjerit meminta bantuan dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, NSTP dimaklumkan proses bedah siasat terhadap mayat kedua-dua mangsa akan dijalankan esok di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan akan dijalankan dari setiap aspek dan klasifikasi kes akan dibuat selepas selesai bedah siasat di HRPB.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa dilihat bawa 2 tong [METROTV]

Pasangan warga emas maut apartment terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 2:58 PM