BANGKAI anjing ditemui di tepi jalan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dipercayai akibat diracun. FOTO ihsan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA).
BANGKAI anjing ditemui di tepi jalan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dipercayai akibat diracun. FOTO ihsan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA).
Redzuan Muharam


PERSATUAN Haiwan Malaysia (MAA) kesal dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian enam anjing jalanan dipercayai akibat diracun di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, individu terbabit tidak seharusnya bertindak mengikut emosi hanya kerana mahu melepaskan kemarahan mereka.

Beliau berkata, meskipun berasa terancam dengan anjing berkeliaran, individu itu sepatutnya menyalurkan maklumat kepada wakil rakyat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mencari penyelesaian dan bukannya membunuh haiwan terbabit.

“Kita tahu ada kemarahan dan persatuan dihubungi wakil penduduk mengatakan mereka sudah membuat aduan kepada wakil rakyat di kawasan berkenaan, tetapi tidak dilayan.

“Akhirnya, isu ini berpanjangan dan antara inisiatif persatuan adalah mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat dua minggu lalu bagi membincangkan mengenai aduan diterima.

“Namun, orang ramai perlu tahu persatuan tidak mempunyai kuasa dan peruntukan untuk bertindak, sebaliknya hanya berperanan memperjuangkan nasib haiwan dizalimi.

“Penyelesaian kes sebegitu (kacau ganggu dan serangan) menjadi tugas rasmi PBT dan wakil rakyat yang perlu peka dengan masalah setempat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Justeru, Arie berharap supaya masyarakat faham dan tidak meletakkan kesalahan kepada persatuan sekiranya berlaku kes seumpama itu.

Pada masa sama, beliau meminta kerjasama pemilik anjing untuk bertanggungjawab dan memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal dengan rapi.

“Ada golongan mempertikaikan peranan persatuan, namun ingin dijelaskan bahawa ada kes serangan membabitkan kes terpencil dan kebiasaannya bukan disebabkan anjing jalanan, tetapi bertuan.

“Jadi, tidak adil jika anjing lain termasuk di jalanan dihukum bunuh, berterusan diganggu dan dibuli sewenang-wenangnya.

“Jika benar anjing jalanan baka mongrel itu agresif, mengapa ada yang boleh menjinakkan dan memberi makanan kepada haiwan berkenaan?

“Oleh itu, kita harap orang ramai faham dan membuat tuntutan dengan pemilik sekiranya menjadi mangsa anjing peliharaan mereka selain membuat aduan terus kepada berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 11:07 PM