ARIE Dwi Andika mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang menzalimi haiwan. FOTO ARIE DWI ANDIKA
ARIE Dwi Andika mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang menzalimi haiwan. FOTO ARIE DWI ANDIKA
Redzuan Muharam

WUJUD pelaku kes penganiyaan haiwan menggunakan kaedah konvensional yang ganas dan kejam iaitu dengan memotong anggota badan seperti tangan dan kaki, memukul dengan kayu dan membakar mangsa hidup-hidup.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika mendedahkan perkara itu hasil daripada aduan yang diterima oleh pihaknya.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila pelakunya terdiri daripada orang dewasa yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun.

“Meskipun tahap kesedaran orang ramai untuk berkongsi maklumat berkaitan penganiayaan meningkat dengan adanya laman sosial namun masih ramai yang enggan tampil memberi kerjasama sepenuhnya.

“Akhirnya, banyak kes tidak dapat diselesaikan. Tindakan hanya boleh dikenakan terhadap pelaku sekiranya saksi tampil membuat laporan bersama bukti yang kukuh,” katanya yang ditemui di Segambut, Kuala Lumpur.

Arie berkata, sepanjang Januari ini sahaja, sudah lima kes penganiayaan haiwan dilaporkan iaitu tiga kucing dan dua anjing yang kesemuanya berakhir dengan kematian yang menyayat hati.

“Ia berita yang mendukacitakan buat persatuan dan pencinta haiwan namun daripada sudut lain kita nampak masyarakat sudah celik serta mendedahkan kegiatan penganiayaan haiwan di laman sosial.

“Cuma masalah timbul apabila ramai saksi enggan tampil membuat laporan. Ia mungkin disebabkan mereka tidak mahu memberi komitmen dari segi masa dan tenaga terutama jika kes itu dibawa ke mahkamah,”katanya.

Menurutnya, Animal Malaysia menerima 100 mesej aduan setiap hari menerusi aplikasi Whatsapp dengan kebanyakannya membabitkan penderaaan haiwan domestik iaitu kucing dan anjing.

“Ada juga aduan membabitkan haiwan liar seperti monyet, kera dan beruk tetapi keutamaan diberi kepada kes kritikal yang membabitkan pembunuhan. Ada tiga kes yang berjaya dibawa ke mahkamah hingga pelaku dijatuhkan hukuman.

“Pelbagai aduan diterima antaranya perbalahan sesama jiran disebabkan masalah kacau ganggu yang merekodkan 2,000 kes. Bagi kes tertentu kita akan minta pengadu menghubungi terus Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Arie, dia berharap masyarakat lebih terdidik dan rasional serta tidak menyakiti haiwan mengikut emosi.

“Apa pun alasannya, tindakan menzalimi haiwan dengan sengaja adalah salah, jadi masyarakat tidak boleh melakukan sewenang wenangnya kecuali dalam situasi terancam.

“Negara mempunyai undang-undang berkaitan haiwan domestik dan liar, jadi mereka perlu mengikut saluran yang betul dengan melaporkan kepada pihak berkuasa. Animal Malaysia menjadi perantara bagi memastikan keadilan buat haiwan ditegakkan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:19 PM