J ARUL (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM2,000 kepada Nooramiliyana (tengah) sambil disaksikan Nallusamy (kiri) di Senawang. FOTO MOHD AMIN JALIL
J ARUL (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM2,000 kepada Nooramiliyana (tengah) sambil disaksikan Nallusamy (kiri) di Senawang. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil

LAPAN beradik yang menjadi yatim piatu dan hilang tempat bergantung mendapat pembelaan apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bantuan kepada keluarga itu di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Bantuan itu membabitkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 selain faedah pencen penakat (pencen bulanan) sebanyak RM848.75 yang dibayar mulai bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar, berkata bapa lapan anak yatim ini, Amran Isa, 39, adalah seorang pencarum Perkeso di mana caruman terakhir adalah pada Ogos 2018.

Menurutnya, Amran meninggal dunia pada petang 23 Januari lalu di Hospital TuankuJaafar Seremban (HTJ), akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan buah pinggang.

“Amran meninggalkan lapan orang anak yang masih berumur bawah 21 tahun. Isteri arwah, Zalifah Abdul Wahab, 36, sudah meninggal dunia di hospital yang sama akibat masalah pada usus, pada Ogos 2018.

“Skuad Perkeso Prihatin Seremban mengambil tindakan segera sebaik mendapat maklumat mengenai keadaan keluarga ini selepas kisah mereka tersiar dalam akhbar Harian Metro,” katanya.

Arul Kumar berkata, sebelum ini Perkeso sentiasa memantau perkembangan kesihatan Allahyarham dan selepas mendapat maklumat kematiannya, lawatan dilakukan dan kes selesai Rabu lalu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM2,000 kepada anak sulung arwah, Nooramiliyana, di Taman Matahari Indah Senawang, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, M Nallusamy.

Lapan anak yatim piatu itu ialah Nooramiliyana, 18, Muhammad Amirul Aiman, 16, Muhammad Amar, 15, Nooramiera Natasha, 12, Nooramiezatul Sofea, 9, Noor Zalisha Qaisara, 6, Muhammad Amsyar, 3, dan Noor Zalisha Husna, berusia setahun sembilan bulan.

Kesemua anak yatim piatu ini kini tinggal menumpang di rumah bapa saudara mereka, Rasit Isa, 30, di taman berkenaan.

Arul berkata, kesemua bayaran faedah pencen bulanan yang layak bagi kesemua anak yatim terbabit akan dibayar melalui Nooramiliyana.

“Bayaran akan diterima keluarga ini hingga anak bongsu mencapai usia 21 atau hingga menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama. Ini adalah suatu tindakan proaktif yang dilakukan Perkeso untuk mencari dan menyerahkan faedah yang layak kepada keluarga ini.

“Setiap pekerja atau pencarum di Perkeso akan dilindungi dan menjadi tanggungjawab kita memastikan perjalanan keluarga ini tidak terganggu selepas mereka hilang tempat bergantung,” katanya.

Sementara itu, Nooramiliyana bersyukur di atas bantuan itu kerana dapat dapat digunakan untuk keperluan perbelanjaan khususnya persekolahan lima adiknya.

“Alhamdulillah, bantuan ini dapat meringankan beban saya dalam menguruskan keperluan adik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:26 PM