Menteri Besar Perak Datuk Ser Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan cek pencen penakat  PERKESO kepada Muhammad Daris Rayyan (empat dari kanan), Muhammad Daris Wafiy (dua kanan) dan Muhammad Daris Amsyar. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI
Menteri Besar Perak Datuk Ser Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan cek pencen penakat PERKESO kepada Muhammad Daris Rayyan (empat dari kanan), Muhammad Daris Wafiy (dua kanan) dan Muhammad Daris Amsyar. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


TIGA beradik yatim piatu yang ibu bapa serta adik bongsu mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, berhampiran Kampung Kayan, Manjung, 3 Disember lalu menerima pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini.

Muhammad Daris Amsyar Sairulazuwan, 5, dan dua abangnya, Muhammad Daris Wafiy, 10, dan Muhammad Daris Rayyan, 9, menerima pencen penakat sebanyak RM1,515.31 sebulan sehingga berusia 21 tahun.

Ketiga-tiga beradik itu turut diberikan wang faedah pengkebumian sebanyak RM4,000.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi 3 Disember lalu, Sairulazuwan Nadzim, 37 dan isterinya, Azilina Abdul Aziz, 37, serta bayi lelaki mereka, Muhammad Daris Iffat, tiga bulan maut selepas Toyota Wish dinaiki terbabas sebelum terhumban dalam parit sedalam 2.5 meter.

Nahas itu menyebabkan Muhammad Daris Amsyar, Muhammad Daris Wafiy dan Muhammad Daris Rayyan yang dihantar ke rumah datuk mereka ketika kejadian menjadi yatim piatu sekelip mata.

Cek disampaikan Menteri Besar Perak Datuk Ser Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di kediaman keluarga tiga beradik berkenaan di Kampung Batu 9 Lekir, Sitiawan.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Perak, Noorhanita Mohamad.

Datuk tiga beradik itu, Nadzim Mohd Taib, 68, berkata dia dan isteri, Fatimah Bujang, 59, akan menjaga tiga cucu berkenaan.

Menurutnya, Muhammad Daris Wafiy dan Muhammad Daris Rayyan akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu 10 Lekir manakala Muhammad Daris Amsyar akan memasuki tadika berhampiran rumahnya.

"Wang yang diterima dan sumbangan diberikan orang ramai akan kami gunakan untuk keperluan mereka tiga beradik ini dan saya sentiasa berdoa diberikan kesihatan yang baik untuk kami terus kuat menjaga mereka.

"Tahun lalu arwah (Sairulazuwan) pernah jatuh motor dan dia berniat mahu membawa saya menunaikan umrah selepas menerima duit insuran itu namun hasratnya tak kesampaian, jadi saya akan guna duit ini untuk upah haji mereka," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata laporan terperinci berkaitan kemalangan tragis yang menyebabkan tiga beranak itu maut diperlukan bagi mengenalpasti sama ada ia berpunca dari masalah teknikal atau unsur lain di lokasi kejadian.

Menurutnya, ia diperlukan supaya dapat mengelak kejadian sama berulang kerana ia membabitkan nyawa orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 8:31 PM