KENDERAAN yang terbabit kemalangan berdekatan R&R Seremban. FOTO ihsan pembaca
KENDERAAN yang terbabit kemalangan berdekatan R&R Seremban. FOTO ihsan pembaca
Hasbi Sidek


DUA lelaki maut dan seorang wanita parah dalam kemalangan membabitkan sekurang-kurangnya lapan kenderaan di Kilometer 273.2 arah selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), pagi tadi.

Kejadian jam 7.30 pagi itu menyebabkan lorong kanan terhalang dan berlaku kesesakan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, kemalangan turut menyebabkan seorang anggota polis parah.

“Kemalangan pertama membabitkan seorang penumpang Proton Iswara maut. Sejurus kemudian berlaku kemalangan di lokasi sama yang mana sebuah kereta jenis Jaguar melanggar kereta Perodua Axia.

“Dua mangsa yang menaiki Perodua Axia iaitu seorang lelaki maut dan seorang wanita parah. Kedua-duanya berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans," katanya.

PLUS melalui laman twitternya memaklumkan semua lorong dibuka semula jam 11.30 pagi dan trafik semakin lancar.

Maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:50 PM