GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Akibat menunggang secara melawan arus, seorang lelaki maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Desa Utama, Bandar Country Homes, Rawang dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, polis menerima laporan kejadian pada 7 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan motosikal Honda EX5 dan Perodua Axia.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 37 tahun menunggang motosikal melawan arus dari arah Taman Desa bertembung dengan kereta yang dipandu lelaki berusia 68 tahun dari arah Seksyen 10 Bandar Country Homes.

"Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal tercampak ke jalan manakala kereta hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata, penunggang yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017- 6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 8:14 PM