KEADAAN motosikal dinaiki mangsa. FOTO PDRM
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa. FOTO PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Pelajar Tingkatan Tiga maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Galang, Pulai Chondong berhadapan Klinik Pulai Chondong, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, Rafqi Danish Arman Rosmaidi maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Axia berusia 29 tahun memandu berseorangan dari arah Kok Lanas dan hendak pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Galang.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu Perodua Axia memberi isyarat ke kanan dan berhenti di tengah jalan dan setelah memastikan tidak ada kenderaan yang datang dari arah bertentangan, pemandu berkenaan kemudiannya terus membelok untuk memasuki lorong di sebelah kanan.

"Semasa berada di lorong berkenaan, pemandu Perodua Axia berhenti seketika untuk memberi laluan kepada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang pada ketika itu hendak keluar dari lorong berkenaan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba motosikal jenis Modenas Kriss AN110F yang ditunggang rakan mangsa, Muhamad Harith Syakir Abdul Muluk, 15, dari arah Pulai Chondong menghala Ke Kampung Galang melanggar bahagian sisi kiri belakang Perodua Axia.

"Kedua-duanya tercampak ke laluan bertentangan dan mangsa terkena bahagian tayar belakang bas yang berada di belakang Perodua Axia," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Adli berkata, akibat daripada pelanggaran, mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala rakannya yang juga penunggang motosikal mengalami cedera ringan di bahagian tangan dan di hantar ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.

"Pemandu Perodua Axia sudah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Beliau berkata, punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Perodua Axia yang

gagal memastikan keadaan selamat sebelum memasuki simpang di sebelah kanan jalan sehingga

mengakibatkan kemalangan berlaku dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

From: Hazira

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 10:02 AM