Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga Myanmar yang berperanan sebagai ejen ditahan polis di sebuah perhentian bas di Puchong 30 September lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, individu itu adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Kami turut menahan tiga lelaki migran warga Myanmar di lokasi terbabit.

“Susulan tangkapan itu, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Bandar Puchong yang membawa penahanan tujuh lelaki warga Myanmar.

“Semua migran itu dipercayai diseludup masuk dari negara asal (Myanmar) untuk bekerja secara haram di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata, tangkapan terbaharu itu ada kaitan dengan operasi dijalankan antara 22 hingga 25 September lalu di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang membabitkan sindiket penyeludupan migran warga Myanmar ke negara ini.

“Sindiket itu turut membabitkan warga tempatan dan asing dengan menggunakan laluan darat dari Thailand sebelum diseludup masuk melintasi Sungai Golok ke Rantau Panjang, Kelantan.

“Semua migran ini kemudian dihantar melalui ejen ke negeri lain untuk bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, 11 individu warga Myanmar itu ditahan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Dengan tangkapan itu, jumlah tahanan rangkaian sindiket penyeludupan migran berkenaan berjumlah 94 individu termasuk enam lelaki dan seorang wanita warga tempatan (tidak termasuk ditembak mati pada 24 September lalu).

“Semua individu tempatan terbabit mempunyai peranan masing-masing sebagai ketua sindiket, pembantu dan ejen. “Bagi 88 individu warga Myanmar yang ditahan, lima lelaki berperanan sebagai ejen manakala selebihnya adalah migran termasuk 14 wanita,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan untuk membongkar dan mengenal pasti sasaran lain yang turut terbabit dengan sindiket rentas sempadan itu bagi memastikan aktiviti penyeludupan migran dapat dibanteras sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 6:54 PM