FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran warga Sri Lanka ke Eropah dalam operasi yang dilakukan di tiga lokasi berasingan di Lembah Klang dan Perlis pada 27 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Padang Besar, Perlis serta sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan dilakukan ketika ahli sindiket sedang menguruskan penyeludupan seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Padang Besar, Perlis ke Thailand sebelum diseludup ke Eropah.

“Seramai 11 individu ditahan membabitkan tiga warga tempatan terdiri seorang fasilitator serta dua pengiring manakala lapan lagi individu adalah migran warga Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, tiga warga tempatan yang ditahan dipercayai terbabit dalam menguruskan penyeludupan keluar migran warga Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil tangkapan dilakukan mendedahkan sindiket itu turut melindungi dan menyembunyikan migran Sri Lanka di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan penyeludupan keluar ke negara ketiga.

“Sindiket ini sudah beroperasi sejak pertengahan tahun lalu dan mempunyai rangkaian hubungan antarbangsa merentasi Sri Lanka, Malaysia dan Eropah,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga warga tempatan yang ditahan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala lapan migran pula ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Dengan penahanan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran dengan menjadikan Malaysia sebagai negara transit.

“Usaha mengesan dan membanteras rangkaian sindiket penyeludupan migran akan terus dipertingkatkan dalam memastikan aktiviti berkenaan dapat dihapuskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 3:02 PM