Norizuan Shamsuddin


LELAKI mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di dua mahkamah berasingan di Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul jirannya, September lalu.

Tertuduh, Mohd Asri Ramli @ Ngah, 54, didakwa mengikut dua pertuduhan iaitu Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba punggung remaja perempuan berusia 15 tahun di parkir motosikal di Flat Kondo Rakyat Kuala Ibai, kira-kira 6.50 pagi pada 24 September lalu.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Nooriah Osman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Manakala di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap ibu remaja berkenaan berusia 44 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di parkir kereta di Flat Kondo Rakyat Kuala Ibai, kira-kira 7 pagi, 24 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana antara dua seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan ini, mahkamah menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan jaminan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:11 PM
TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan. FOTO Imran Makhzan
TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan. FOTO Imran Makhzan