Norizuan Shamsuddin


LELAKI dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas empat pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap dua kanak-kanak.

Tertuduh yang berusia 44 tahun dituduh atas tiga pertuduhan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan terbabit di kediaman di Lorong Kenanga, Batu Buruk, antara 8.30 hingga 10 malam, pada tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap kanak-kanak sama bertempat di sebuah kediaman Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu antara 8.30 hingga 10 malam, pada tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak sama di sebuah kediaman di Lorong Kenanga, Batu Buruk, antara 8.30 hingga 10.30 malam pada 6 Februari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pertama dan kedua, namun mengaku bersalah bagi pertuduhan ketiga.

Sementara itu, bagi pertuduhan berasinga tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan tabii terhadap kanak-kanak lelaki lima tahun di sebuah kediaman di Lorong Kenanga, Batu Buruk, sekitar 8.30 hingga 10.30 malam, 6 Februari lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Nooriah Osman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi empat kes terbabit pada 15 Oktober ini dan tertuduh tidak diberikan jaminan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 4:09 PM
TERTUDUH diiring polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas empat pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap dua kanak-kanak. FOTO Imran Makhzan.
TERTUDUH diiring polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas empat pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap dua kanak-kanak. FOTO Imran Makhzan.