Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


INDIVIDU bergelar ‘Datuk’ yang dikenali sebagai Sunny Coco dipercayai menganggotai kumpulan kongsi gelap Geng 24 atau Gee Leng Hor didapati berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, maklumat itu diperoleh hasil serbuan di Kulai, Johor pada awal pagi tadi.

Menurutnya, serbuan itu berjaya menahan 30 ahli Geng 24 atau Gee Leng Hor termasuk dua wanita berusia 17 hingga 40 tahun dalam operasi lebih lima jam bermula 12 tengah malam.

“Ketika serbuan dilakukan ada antara suspek berkenaan sedang berjudi dan polis turut merampas wang pertaruhan dianggarkan lebih RM100,000.

“Polis juga merampas peralatan judi seperti cip pelbagai warna serta wang tunai dan semakan mendapati kesemua ditahan itu mempunyai rekod jenayah,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Huzir berkata, serbuan terhadap Geng 24 itu dilakukan susulan rakaman video seorang lelaki dikenali sebagai Sunny Coco yang mendakwa anggota kumpulan itu.

“Lelaki berkenaan dipercayai sudah melarikan diri ke China sebelum rakaman videonya tersebar di laman sosial.

“Polis sudah mengenal pasti lelaki berkenaan dan akan ‘menjemput’ dia tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, polis menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kumpulan kongsi gelap kepada polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi tujuh minit 25 saat menunjukkan seorang lelaki bertatu mendakwa dirinya ahli Geng 24 tular di laman sosial.

Video berkenaan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat yang mendakwa kegiatan gengsterisme kini semakin bertambah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:11 PM