GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ketua kongsi gelap geng 'San Sentosa' yang amat dikehendaki berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Raja Musa, Pelabuhan Klang, semalam.

Penahanan individu berkenaan dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) dengan bantuan Bahagian Operasi Khas (D8) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, turut ditahan seorang lelaki yang bersama individu berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan menemui sepucuk revolver jenama Colt yang disorok dibawa tempat duduk pemandu.

"Polis turut memeriksa rumah suspek di Jalan Bendahara, Taman Mewah Ria, Klang dan menemui sebutir peluru hidup jenis 9 mm," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, kumpulan kongsi gelap berkenaan menjalankan aktiviti pemerasan, samun, menjaga premis perlombongan Bitcoin haram, curi kenderaan dan jenayah pecah rumah.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kes senjata api dan curi kenderaan. Suspek juga dalam senarai orang dikehendaki berkait kes senjata api di Petaling Jaya," katanya.

Menurutnya, JSJ menerusi D9 menubuhkan pasukan khas bagi mengesan kumpulan ini dan berjaya menumpaskan penjenayah bersenjata api ini.

"Sebelum ini JSJ berjaya menahan dua lelaki pada 17 April lalu dan merampas sepucuk pistol, pada 15 Jun pula seorang lelaki yang juga ahli kongsi gelap berkenaan ditahan di Taman Sentosa, Klang bersama sepucuk revolver.

"Pada 13 September pula, seorang lelaki warga tempatan ditahan di Butterwort dan merampas pistol bersama empat peluru hidup.

"Jumlah keseluruhan tangkapan ahli kongsi gelap adalah seramai enam orang dan rampasan empat pucuk pistol dan lima peluru hidup berjaya dilakukan," katanya.

Katanya, semua senjata api yang dirampas tidak mempunyai lesen yang sah dari polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 11:41 PM