MUHAMMAD Taufiq menunjukkan baju bundle yang dijual pada harga RM1,000. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
MUHAMMAD Taufiq menunjukkan baju bundle yang dijual pada harga RM1,000. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


KETIKA anak muda lain masih terkapai-kapai mencari peluang pekerjaan, seorang pemuda mengambil inisiatif menjual baju-T bundle yang mana harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

Muhamad Taufiq Abd Razak, 21, yang juga pemegang Sijil Pembuatan Perabot dan Hiasan Dalaman dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok, sudah lima tahun bergiat aktif dalam perniagaan baju terpakai itu.

Dia yang berasal dari Kampung Meranti, Pasir Mas, berkata minatnya pada perniagaan bundle bermula sejak kecil selepas melihat ayahya, Abd Razak Daud, 54, yang turut mengusahakan perniagaan sama sejak 20 tahun lalu.

“Baju-T yang saya jual memiliki harga berbeza bergantung kepada keadaan kain dan jenama. Ia boleh dijual serendah RM1 atau nilainya boleh mencecah RM3,000 sehelai mengikut jenis baju.

“Biasanya baju bundle mempunyai kelompok peminatnya tersendiri daripada pelbagai peringkat usia yang tahu akan menilainya terutama baju ‘rare’ dan berkonsep ‘vintage’.

“Setakat ini, baju paling mahal pernah saya jual berharga RM200 sehelai, namun ada sehelai lagi yang masih dalam simpanan berjenama Anthrax yang mungkin boleh mencecah RM1,000,” katanya ketika ditemui di tapak jualannya di Uptown Kota Bharu, semalam.

Anak keempat daripada tujuh adik beradik itu berkata, dia mampu memperoleh pendapatan hampir RM2,000 sebulan hasil perniagaan barangan terpakai itu.

Selain baju-T, dia turut menjual koleksi beg dan kasut yang diperoleh daripada pembekal dari seluruh Kelantan.

“Baju bundle ini terdiri daripada pelbagai jenama dan selalunya yang menjadi tarikan pembeli seperti Iron Maiden, Starwars, Champion, Fila, Adidas dan Anthrax.

“Biasanya, harga baju akan diletak selepas saya bertanya dan berkongsi pandangan dengan penjual bundle lain yang lebih arif, namun ada juga setengah baju yang mana pelanggan akan terlebih dahulu meletak harga.

“Jadi, nilai paling berpatutan ditawarkan akan saya jual, biasanya ia berlaku apabila ada baju berjenama yang sudah lama usianya, memiliki corak menarik dan memiliki kain berkualiti sekali gus menjadi rebutan peminat,” katanya yang turut dibantu rakan, Abdul Qayyum Zahari, 21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 11:41 AM