CANTIK dan berpatutan dan sesuai digayakan untuk pelbagai acara.
CANTIK dan berpatutan dan sesuai digayakan untuk pelbagai acara.
Siti Nadirah Hafidzin


BAJU sejuk dan keperluan lain seperti sarung tangan, jaket dan kasut antara barangan yang perlu disediakan sebelum memulakan percutian ke negara beriklim sejuk namun ramai mengeluh apabila kebanyakan yang berada di pasaran dijual dengan harga terlalu tinggi.

Masalah menjadi semakin rumit sekiranya percutian itu dirancang untuk seisi keluarga, mana tidaknya harga untuk sehelai baju sejuk dewasa boleh mencecah sehingga RM400 dan ke atas bergantung kepada rekaan dan jenama yang akhirnya menyebabkan sesebuah keluarga perlu mengeluarkan belanja ribuan ringgit hanya untuk memiliki baju sejuk.

Atas faktor itu sekali gus membantu setiap golongan tanpa mengira usia dalam mendapatkan barangan keperluan melancong terutama baju sejuk pada harga mampu milik, Baju Sejuk Bundle (BSB) tampil dengan variasi koleksi yang menepati kriteria berpatutan serta praktikal.

Menurut pengasasnya, Zetty Edlinna Mohd Nasir, idea untuk menjalankan perniagaan fesyen terutama baju sejuk terpakai pada kualiti terbaik itu muncul apabila dia bersama seluruh ahli keluarganya merancang bercuti ke luar negara.

“Antara perkara pertama yang mula terfikir adalah baju sejuk memandangkan ada antara kami tidak mempunyainya sebelum menyedari kebanyakan baju sejuk dijual pada harga yang tinggi.

“Daripada situ kami mula sepakat untuk memulakan perniagaan ini kerana mahu membantu orang ramai berbelanja dengan lebih rendah untuk mendapatkan sehelai baju sejuk mengikut cita rasa dan kemampuan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setiap koleksinya mempunyai keistimewaan tersendiri terutama daripada segi rekaan yang lebih praktikal untuk wanita juga kepada lelaki dan kanak-kanak.

“Lebih menarik, setiap koleksi dijual pada harga bermula RM40 sehingga RM200 bergantung kepada rekaan juga kualiti.

“Terbaru kami juga menawarkan koleksi untuk individu bersaiz besar yang sering mengalami kesukaran untuk memiliki baju sesuai,” katanya.

Katanya, dari aspek warna, kebanyakan koleksinya didatangkan dalam rona ceria sesuai dengan emosi gembira untuk pergi bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 6:10 AM