HABIBI (dua kiri) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek warga emas. FOTO Fardy Bungga
HABIBI (dua kiri) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek warga emas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


PERTENGKARAN mulut angkara penggunaan dapur di rumah sewa berakhir tragedi apabila warga emas menikam jiran serumah dengan parang panjang, semalam.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, dua penyewa rumah di Kampung Cempaka Baru, Jalan Haiwan, Likas, bertekak selepas mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan menggunakan dapur masak milik keluarga penyewa lain.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pada mulanya, pertengkaran mulut berlaku antara mangsa dan anak suspek berusia 29 tahun.

Bagaimanapun katanya, pergaduhan itu kemudiannya menjadi lebih serius apabila dicampuri suspek, 82, dan isterinya, 57.

“Akibat gagal mengawal perasaan marah, suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dan terus mengambil parang sebelum menikam mangsa di dada.

“Mangsa yang parah di dada kemudian dikejarkan ke HQE I untuk rawatan namun meninggal dunia pada 3.30 petang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu sepasukan polis dikerah bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 2 petang, polis menahan suspek dan dua lagi individu iaitu anak dan isteri suspek.

“Polis turut merampas parang berukuran 69 sentimeter yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu,” katanya.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan keluarga suspek sering bertengkar kerana dikatakan mangsa sering menggunakan peralatan dapur memasak seperti dapur gas, kuali dan pinggan milik suspek.

“Suspek bersama anak dan isteri direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 1:43 PM