PULAU Bangau lokasi persinggahan unik burung bangau di Sungai Perak. FOTO Efendy Rashid
PULAU Bangau lokasi persinggahan unik burung bangau di Sungai Perak. FOTO Efendy Rashid
Noor Hidayah Tanzizi


MENARA condong dan udang galah antara tarikan utama yang sinonim dengan Teluk Intan yang menjadi tumpuan ramai sejak sekian lama.

Teluk Intan yang dulu dikenali sebagai Teluk Anson, kini menawarkan tarikan baru eko pelancongan yang belum diterokai sepenuhnya iaitu Pulau Bangau yang menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung hijrah terutama bangau.

Lebih unik, pulau seluas enam hektar itu baru saja wujud sejak 15 tahun lalu kerana proses hakisan sungai dan timbunan pasir yang menjadi tempat persinggahan bangau dan burung hijrah di Sungai Perak.

Ia digelar Pulau Bangau berikutan populasi burung bangau yang banyak di situ, kira-kira 10 spesies selain beberapa jenis burung lain.

BAHARUDIN menjahit dan mengubah suai seluar pelanggan di kedainya di Bazar Tok Guru.
BAHARUDIN menjahit dan mengubah suai seluar pelanggan di kedainya di Bazar Tok Guru.

Antara spesies burung bangau yang ada adalah bangau besar, bangau batu, bangau bakau, bangau cina, bangau kendi, bangau kerbau, bangau paya, Little Egret, Cattle Egret dan Egret Meageret selain burung lain seperti helang, raja udang dan enggang.

Burung bangau dan pelbagai spesies burung lain mula pulang selepas mencari makan pada lewat petang bermula jam 6.30 petang namun pergerakan pulang mereka turut mengikut keadaan cuaca.

Ribuan burung yang pulang secara berkumpulan dengan bentuk seperti huruf V sememangnya memberikan pemandangan indah terutama apabila ia berlatarbelakangkan matahari terbenam.

Operator pelancongan, Goh Pin Ying, 29, berkata, menyedari potensi pulau berkenaan, dia dan bapanya, Goh Chin Chye, 63, mengusahakan perkhidmatan bot untuk mempelbagaikan produk pelancongan di Teluk Intan.

Menurutnya, pulau berkenaan memberi peluang kepada mereka yang meminati alam semula jadi terutama peminat burung kerana dapat melihat pelbagai spesies bangau dan burung lain secara lebih dekat.

“Potensi pulau ini sangat luas kerana ia mempunyai keunikan tersendiri apabila menjadi tempat persinggahan burung dan ada yang membuat sarang di situ malah terdapat kelip-kelip spesies Pteroptyx tener di kawasan berhampiran.

“Sebab itu saya pulang ke Malaysia selepas 10 tahun menetap di Korea Selatan.

“Saya mengambil peluang ini mempelbagaikan produk pelancongan di Teluk Intan supaya orang ramai dapat mengetahui tarikan di sini dengan lebih meluas,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat tiga operator termasuk dirinya yang menawarkan perkhidmatan menyusuri sungai dan pakej ke Pulau Bangau pada harga RM20 dan RM30 untuk kelip-kelip manakala RM60 untuk pakej penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:45 AM