PEMANDANGAN menakjubkan pelbagai unggas bertebangan pada waktu senja.
PEMANDANGAN menakjubkan pelbagai unggas bertebangan pada waktu senja.
Hafiz Ithnin


"NAMANYA sudah popular tetapi belum pasti ramai yang tahu mengenai keunikan Teluk Intan itu sendiri," jelas jurufoto kembara bebas, Muhd Zarnizar Mohamad.

Bagi pemuda berusia 40 itu yang lebih mesra disapa Zarnizar dalam kalangan pengikutnya di Instagram, pengalaman tidak dilupakan ketika mengunjungi Teluk Intan, Perak itu ketika ke Pulau Bangau.

Zarnizar berkata, lokasi Teluk Intan yang terletak berhampiran dengan Sungai Perak mempunyai khazanah alam semula jadi unik dan tersendiri.

Katanya, jika berkunjung ke Teluk Intan jangan hanya terpukau dengan pesona Menara Condong Teluk Intan yang sudah sinonim dengan daerah itu sahaja tetapi eko pelancongannya turut mempunyai aura tersendiri.

"Saya sendiri ini kali pertama mengunjungi Teluk Intan, tidak terfikir bahawa destinasi itu mempunyai pelancongan eko yang menarik terutama menerokai tarikan di Sungai Perak itu sendiri," katanya.

Zarnizar berkata, dia menggunakan khidmat operator tempatan yang menawarkan aktiviti menerokai Pulau Bangau dan memancing udang galah.

"Terdapat jeti hanya terletak kira-kira 150 meter dari Menara Condong Teluk Intan iaitu River Cruise Teluk Intan. Bayaran bagi mengelilingi Pulau Bangau dikenakan pada harga serendah RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 untuk dewasa.

"Pengalaman mengelilingi Pulau Bangau pada waktu senja seolah-olah menikmati pemandangan safari di luar negara yang cukup memukau," katanya.

Katanya, dia difahamkan pulau itu dinamakan sebagai Pulau Bangau kerana ia menjadi 'rumah' burung bangau menginap.

"Saya difahamkan terdapat lebih 50,000 burung ke pulau berkenaan terutama burung bangau. Jadi, ia menghidangkan panorama yang amat menarik.

"Keunikan Pulau Bangau, terletak di tengah-tengah sungai dan ketika matahari terbenam, saya boleh melihat cahaya matahari berona jingga yang begitu memukau," katanya.

Apatah lagi, hidupan liar berkenaan berterbangan di sekelilingnya menjadikan pengalaman bersiar - siar dengan bot ke Pulau Bangau sesuatu perkara yang sukar untuk dilupakan.

BOT persiaran yang membawa pengunjung ke Pulau Bangau.
BOT persiaran yang membawa pengunjung ke Pulau Bangau.

"Ditambah pula, jika anda seorang penggemar fotografi kerana pemandangan matahari terbenam dengan unggas berterbangan di sekelilingnya amat sukar didapati di lokasi tarikan pelancongan tempatan yang lain," katanya.

Akuinya, menggunakan khidmat operator tempatan juga amat berbaloi kerana mereka sentiasa bercerita mengenai sejarah dan destinasi menarik di Teluk Intan.

"Jadi bagi pelancong yang datang bersama keluarga terutama kanak-kanak amat disarankan mengunjungi destinasi ini.

"Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati panorama memukau, malah terdapat unsur pelancongan pendidikan sepanjang ke Pulau Bangau yang mengambil masa antara 40 hingga 90 minit," katanya.

Katanya, pengalaman menikmati pemandangan matahari terbenam dengan menyaksikan burung bangau berterbangan tidak terhenti begitu sahaja kerana operator akan menunggu sehingga suasana gelap.'

"Ketika suasana sudah gelap, saya dan rakan-rakan dapat menikmati keindahan kelip-kelip spesis Pteroptyx tener yang terdapat di Pokok Berembang sepanjang sungai ini.

"Suasananya pula tidak ubah seperti berada di alam magis. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana pengalaman ke Pulau Bangau adalah amat menarik dan di luar jangka," katanya.

Jelasnya, jika bernasib baik pengunjung dapat melihat antikuiti kepala kereta api ketika air sungai surut. Malah, sepanjang bersiar di Sungai Perak dapat melihat beberapa tarikan lain.

"Ketika berada di atas bot saya dapat melihat antaranya pemandangan Jeti Bot Penambang, Kilang Raga Buluh, Tokong Budha dan juga Menara Condong Teluk Intan itu sendiri.

"Teluk Intan ini sebenarnya adalah tapak pelabuhan lama. Justeru terdapat banyak pengalaman menarik yang dapat diperoleh sepanjang menelusuri Sungai Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 12:01 AM