Mayat Ismaniza ditemui di Sungai Temangan, Machang pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Mayat Ismaniza ditemui di Sungai Temangan, Machang pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis dan Syaherah Mustafa


“SYUKUR jasad anak saya ditemui walaupun dia sudah tidak bernyawa lagi,” luah Zizah Awang, 42, ibu kanak-kanak berusia 10 tahun yang ditemui lemas selepas bot dinaiki terbalik di Sungai Pasir Linggi, dekat Kuala Krai kelmarin.

Mayat Ismaniza Atira Ismail, 10, ditemui orang awam di Sungai Temangan, Machang 10.05 pagi tadi.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Besar di sini.

Zizah berkata, meskipun sedih kerana kehilangan anak perempuan kesayangan, dia bersyukur jasad anaknya itu ditemui dan penantian mereka sekeluarga sejak kelmarin akhirnya terjawab.

“Saya tidak dapat menahan sebak apabila menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga pagi tadi memberitahu anak saya sudah ditemui namun dalam keadaan tidak bernyawa.

“Ketika menerima panggilan saya berada di rumah di Perumahan Taman Krai di sini sebelum bergegas ke lokasi penemuan.

“Apa yang membuatkan saya lebih sebak, jasad anak ditemui adik ipar Mohd Zaki Abdul Latiff, 40, yang turut sama membantu bomba dalam pencarian anak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sepanjang misi pencarian dijalankan, dia dan suami, Ismail Abdul Latiff, 47, tidak putus-putus berdoa semoga anak mereka ditemui.

“Anak yang lain turut bersedih dan menangis seperti sukar menerima hakikat Ismaniza sudah tiada, namun kami perlu kuat dan menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati selepas ini.

“Saya reda dengan takdir ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berdoa dan membantu mencari anak terutama bomba,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat Ismaniza Atira Ismail daripada orang awam 10.05 pagi ini.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan di kawasan sekitar termasuk menggunakan anjing pengesan pagi ini.

“Bagaimanapun pada 10.05 pagi kita menerima panggilan berhubung penemuan mayat kanak-kanak itu di Temangan oleh bapa saudaranya sebelum anggota bergegas ke lokasi,” katanya.

Harian Metro melaporkan, kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik di Pasir Linggi di sini 5 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa bersama enam ahli keluarga menaiki bot menyeberangi sungai untuk pulang ke rumah bapa saudaranya di Kampung Pasir Linggi.

Namun bot itu terbalik, enam yang lain termasuk bapa saudaranya berenang ke tebing sungai namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan dibawa arus.

Berita berkaitan

Mayat kanak-kanak tragedi bot terbalik ditemui

'Berharap anak masih hidup'

Bot terbalik, budak perempuan dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 3:58 PM